KANDUNGAN MENARIK ANIS FEBRUARI
2014
Sumbu ANIS: “Aku
Mahu Cantik!”
Apabila ditanya kepada kita, “Siapakah wanita yang
paling cantik di dunia?” Sering kali yang tergambar di fikiran kita ialah wanita
yang berkulit putih mulus, rambut perang dan ikal mayang, pipi pauh dilayang,
pinggang ramping bak kerengga, berbaju seksi serta memperlihatkan auratnya yang
wajib ditutupi – seperti mana kecantikan yang digembar-gemburkan media
berorientasikan Barat. Jika itulah definisi sebenar mengenai kecantikan – ramai
wanita pasti dihimpit rasa sedih bercampur malang kerana tidak semua bernasib
baik dilahirkan cantik dan jelita. Soalnya, di mana letak kecantikan sebenar
dan hakiki bagi seorang wanita? Kecantikan itu sangat relatif, setiap orang
berlainan pandangan, maka untuk mengetahui jawapan paling tepat mari kita semak
sama ada pandangan kita menepati pandangan Allah dan Rasul-Nya. Ketahui juga
sejauh mana had untuk berhias dan apakah larang-larangannya yang dikupas oleh Ustazah
Maznah Daud.
Bicara Tokoh : Suburkan
‘Cantik’ Dalam Rumah Tangga
Manusia merupakan ciptaan Allah yang sempurna dan
dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian. Seandainya kita dilahirkan kurang
sempurna di sudut kecantikan diri, kita tidak sewajarnya putus asa malah
sepatutnya kita harus bersyukur.
“Wajah seseorang itu tidak boleh diubah, tetapi ingat
kecantikan dalaman iaitu akhlak diri boleh diubah,” tegas Dato’ Ustaz Zawawi
Yusoh.
Mengupas lanjut erti sebenar kecantikan seorang
wanita dari perspektif Islam, menurut beliau kecantikan hakiki bagi seorang
wanita itu terletak pada kecantikan pada akal, hati dan nafsunya. Ikuti juga kupasan
dari Pendakwah dan Perunding Motivasi, Puan Noor Laila Aniza Zakaria berkenaan
cantik dalam rumah tangga sempena Forum ANIS ‘Menjengah Kecantikan Hakiki’.
Tinjauan Eksklusif: Cantik Di Mata, Cantik Di Hati
Majalah ANIS Februari juga secara eksklusifnya menghuraikan isu cantik
secara mendalam yang dikupas oleh panel-panel Seminar Penuaan Kulit: Terapi Dalaman dan
Luaran anjuran Pusat Penyelidikan Rehabilatasi Komuniti dan Penuaan
(H-Care), Fakulti Sains Kesihatan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Bangi. Panel-panel yang terlibat adalah Ustazah Norhafizah Musa
yang menghuraikan apa itu cantik, apakah situasi yang menyebabkan wanita tidak
cantik dan apakah penawar untuk cantik. Panel lain ialah Pensyarah
di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Arimi
Fitri Mat Ludin dan Dr. Noor Zalmy Azizan, Pakar Kulit Hospital Kuala Lumpur
yang turut menunjukkan beberapa senaman yang boleh dilakukan oleh golongan
wanita khususnya sama ada di tempat kerja atau di rumah dan panduan untuk
mendapat kulit yang sihat dan cantik. Dapatkan juga rahsia awet muda yang
dikongsikan oleh Dato’ Dr. Sarimah Ahmad.
Personaliti ANIS: Gadis Geologi dan Ratu Di Dapur
Kesibukannya
bertugas sebagai pegawai geologi di sebuah syarikat minyak dan gas di ibu kota
tidak pernah mematikan minatnya dalam bidang memasak. Malah, beliau sentiasa
bersemangat mencuba pelbagai masakan di samping mengasah tajam kemahirannya
dalam bidang kulinari ini. Walaupun tidak pernah mengikuti pendidikan formal
dalam bidang kulinari, namun kemenangannya sebagai juara MasterChef Malaysia
musim kedua seolah-olah memberi petunjuk bahawa kemahiran dan bakatnya dalam
masak-memasak ini bukan calang-calang sekali gus menyuntik semangatnya untuk
terus beraksi di dapur. Ikuti cerita terkini Izyan Hani Mohd Izham dalam
Personaliti ANIS.
Asy-Syifa’: Harapan Untuk Pesakit Autisma
Buat
masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat autisma. Rawatan selalunya
memerlukan beberapa jenis rawatan yang diolah mengikut keperluan setiap
kanak-kanak autisma. Objektif utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan
dalam keluarga, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit untuk
mampu berdikari dalam hampir semua aspek kehidupan. Ketahui ayat-ayat al-Quran
yang boleh diamalkan untuk merawat masalah ini dan tip-tip kepada ibu bapa yang
mempunyai anak-anak autisma yang dikongsikan oleh Hj. Lokman Abdul Hamid, Ketua
Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al-Hidayah.
Hai
Darling!: Suami Tak Perasan Isterinya Cantik
Sebelum pergi ke
jemputan majlis perkahwinan, Mariam telah mengenakan tudung baru yang
beropol-ropol campuran tiga warna yang amat sepadan dengan kebarungnya.
Diserikan lagi dengan kerongsang bujur berwarna-warni sedondon dengan warna
utama pakaiannya. Ketika berada dalam kereta, dia berharap suaminya perasan
akan tudung baru tersebut lalu memujinya. Malangnya si suami langsung tidak
perasan yang Mariam memakai tudung baru apatah lagi memujinya. Kenapa ini
terjadi? Bagaimanakah caranya untuk seorang isteri mendapat pujian daripada
suaminya? Ketahui jawapannya yang dikongsikan oleh Pak Utih dalam ruangan Hai Darling!
Tackle Remaja: Terima Anak
Seadanya
“Saya pernah memasukkan anak-anak saya ke program motivasi
yang doktor jalankan. Semuanya berjaya kecuali seorang, iaitu anak yang ketiga.
Anak yang pertama, kini sudah menjadi seorang doktor perubatan. Anak kedua dan
keempat masing-masing kini sedang menuntut di universiti. Cuma anak lelaki yang
ketiga sahaja kurang menjadi. Sebenarnya doktor, dulu saya tidak faham.
Sekarang baru saya faham kenapa dia tidak cemerlang dalam pelajarannya.
Rupanya, Allah SWT menganugerahkan saya seorang anak khusus untuk bantu saya
ketika susah seperti sekarang ini.” Dapatkan panduan yang boleh dilakukan oleh ibu
bapa dalam mendidik anak-anak yang dikongsikan dalam ruangan
Tackle Remaja oleh Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad.
Imej Muslimah: Bijaksana
Memilih Tudung
Sekarang ini, ada banyak fesyen tudung
di jual dalam pasaran. Variasi tudung bermacam warna menarik turut
dipelbagaikan pilihan mengikut cara penggayaan, corak serta jenis fabrik yang
cantik-cantik. Harga tudung pula tersedia mengikut kesesuaian tahap kemampuan
pembeli.
Pada ketika inilah, seorang wanita perlu
membuat pilihan dengan bijaksana. Sama
ada setiap helai tudung dibeli itu benar-benar mendatangkan manfaat baik kepada
dirinya. Penilaian bukan sahaja pada kesempurnaan menutup aurat dan tidak
membazir (bila harga tudung terlalu mahal) tetapi perlu dihalusi maksud imej
diri tersirat apabila menggayakannya (bagaimana pandangan orang sekeliling apabila
memakai tudung tersebut). Ketahui kategori-kategori tudung yang ada di pasaran
dan kupasannya oleh Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image.
Sirih
Junjung: Berhiaslah,
Ia Menarik Jodoh
Anjuran berhias di dalam sunnah
berbentuk umum, untuk lelaki dan wanita juga. Daripada Abdullah bin Mas’ud
bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW, “Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya bagus dan sandalnya bagus.”
Baginda menambah, “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah yang menyukai keindahan.”
(Riwayat Muslim). Apakah contoh perhiasan Wanita Generasi Terbaik? Dapatkan
ulasannya oleh Fatimah Syarha Mohd Nordin.