Aug 14, 2013

ANIS SEPTEMBER 2013



 

Ibu Mithali = Anak Penyejuk Hati
Bagi anak-anak, ibulah yang sepatutnya insan terhebat yang pernah mereka kenali. Bahkan ibu juga sepatutnya wanita ‘pertama’ yang diangkat penghormatannya di sepanjang hayat ini.
Bagi kaum wanita pula sememangnya mereka patut bercita-cita menjadi ibu yang mithali kepada anak-anak. Apakah sifat-sifat ibu mithali dan apakah kriteria seorang ibu yang hebat? Ikuti ulasannya dalam Sumbu ANIS bulan ini oleh Ustaz Amaluddin Mohd Napiah.

Bicara Tokoh ms: 24
“Bermula anak itu buka mata, proses pendidikan sudah bermula. Semuanya bermula dengan ibu. Ibulah yang mempunyai banyak masa untuk memantau, memperbetulkan kekurangan dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak.” Ketahui kupasannya dan dapatkan tip mendidik anak cemerlang yang dikongsikan oleh Ustaz Mohd Shukri Samsudin, bekas Setiausaha Khas Kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.

Personaliti ANIS ms: 32
Bahagiakan Diri Sebelum Berkahwin
“Bahagiakan diri sendiri dahulu sebelum berkahwin kerana tujuan sesebuah perkahwinan adalah untuk memberi bahagia, bukan untuk mendapatkan bahagia. Orang yang bahagia sahaja yang tahu tujuan dan matlamat hidupnya. Apabila kita bahagia, kita mampu menarik orang yang bahagia datang kepada kita kerana tujuan sesebuah perkahwinan adalah untuk memberi bahagia, bukan untuk mendapatkan bahagia.” Ikuti perkongsian perjalanan hidup Prof Muhaya dan keluarga yang penuh dengan ilmu untuk dimanfaatkan bersama.

Soal Jawab Cantik ms: 50
Masalah Perut Buncit Setelah Bersalin
Selepas melahirkan anak, saya dapati agak sukar untuk kembali ke rupa bentuk asal, terutamanya di bahagian perut. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Adakah rawatan yang selamat untuk mengurangkan perut buncit tanpa melalui surgeri? Adakah cara untuk mengelak perut buncit daripada berlaku? Dapatkan jawapannya dalam ruangan Soal Jawab Cantik oleh Dr. Nurhalina Azly bt. Minhat, Perunding Kecantikan.

     Sirih Junjung ms: 64
Bakal Suami Impian
Ramai wanita mengimpikan suami yang setia. Setia kepada Allah. Setia kepada keluarga. Setia kepada cintanya. Bagaimana hendak mengenali lelaki sedemikian? Ikuti kupasannya oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin.
  
      Manja Sihat ms: 62
Sembelit Di Kalangan Bayi Dan Kanak-kanak
Ibu bapa sering dilanda kerisauan apabila bayi atau anak-anaknya jarang dan mengalami kesukaran untuk membuang air besar. Adakah sembelit itu penyakit? Apakah tanda dan punca sembelit? Bagaimanakah  cara untuk mengatasinya? Ketahuinya dalam ruangan Manja Sihat oleh Dr. Zubaidi Ahmad.

Hai Darling! ms: 80
Apabila Isteri Mahu Suami Jadi Isteri!
Zaman sekarang dengan kos kehidupan yang sangat tinggi, membuatkan para isteri tiada pilihan lain melainkan terpaksa keluar rumah untuk menambah pendapatan keluarganya. Apabila mereka pulang ke rumah, satu lagi tanggungjawab tradisi sedang menunggu mereka. Inilah yang membuatkan isteri tadi menjadi stres setibanya di rumah. Cabaran baru ini memerlukan sokongan yang baru daripada suami dan juga anak-anaknya sendiri. Bagaimanakah caranya untuk seorang isteri mendapatkan sokongan tambahan daripada suaminya? Ikuti panduan yang diberikan oleh Pak Utih dalam ruangan Hai Darling!

Tackle Remaja ms: 90
Pro & Cons Melabel Anak
Ramai ibu bapa yang secara tidak sedar melabel anaknya. Jika sikap anak itu positif, melabel boleh membantunya menjadi lebih baik. Tetapi sekiranya label-label negatif yang diberikan maka kesannya kelak menjadi lebih buruk. Ketahui 6 perkara penting dalam melabel agar kita tidak salah dalam melabelkan anak-anak.

Imej Muslimah ms: 42
Jangan Bergaya Macam ’Tak Ingat Umur’
Apabila seseorang wanita bergaya macam tak ingat umur, tidak mustahil masyarakat sekeliling akan hilang rasa hormat pada kewibawaan diri kerana tidak mengambil berat menjaga maruah dan imej diri. Malah, dari sudut ilmu Grooming, wanita itu telah terjebak kepada salah satu daripada kesalahan imej yang merosakkan maruah dirinya sendiri. Oleh itu, ketahui panduan penggayaan mengikut umur oleh Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image.

Jul 3, 2013

Being-Me @ PICC

Alhamdulillah, program Being-Me anjuran Mercy Mission Malaysia berjaya diadakan dengan jayanya di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Majalah Anis adalah majalah rasmi untuk program ini. Terima kasih kepada semua peserta dan tahniah kepada penganjur.






Jun 12, 2013

BIL 191 JULAI/2013


KANDUNGAN MENARIK ANIS JULAI 2013:

1. Fokus Utama ms: 17
Lagi Sedekah Lagi Kaya!
Ramadan juga dinamakan bulan sedekah. Ini kerana setiap kali tibanya Ramadan, Baginda SAW diriwayatkan bersedekah dengan sedekah yang amat banyak sehingga diumpamakan sedekah Baginda itu bagaikan angin yang berhembus. Umat Islam digalakkan banyak melakukan sedekah di bulan Ramadan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT serta menuruti sunnah Rasulillah SAW. Ia juga sebagai bentuk pembuktian kepada kebenaran iman kita iaitu dengan mengeluarkan sebahagian daripada harta kita yang Allah SWT kurniakan. Namun, tahukah kita terdapat juga sedekah wajib dan sunat? Nak tahu lebih lanjut mengenainya, ikuti ulasannya dalam Fokus ANIS bulan ini oleh Ustaz Amaluddin Mohd Napiah.

2. Interviu Fokus ms: 20
Mengurangkan jumlah hutang yang ditanggung oleh penghutang adalah digalakkan dalam Islam. Bahkan, ganjarannya diumpamakan seperti memberi sedekah kepada mereka yang berada dalam kesulitan dan kesusahan. Ikuti ulasannya oleh Pengarah Urusan Transform Training & Concultancy, Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew.

3. Tetamu Anis ms: 33
Adam Corrie & Fazima Cinta Bersemi Di Bulan Ramadan
“Saya selalu mengikut kawan saya ke masjid dan melihat bagaimana dia solat dan mengambil wuduk. Paling membuatkan saya selesa apabila saya masuk ke masjid, imam tidak pula memarahi saya tetapi hanya meminta saya supaya tidak bising. Saya suka akan akhlak dan cara hidup yang ditunjukkan oleh kawan saya itu. Sejak itu, saya banyak bertanya tentang Islam.” Ingin tahu apakah ‘turning point’ Adam dan perjalanan hidup Adam bersama isterinya, Fazima? Ketahuinya dalam ruangan Tetamu ANIS pada muka surat 33. 

4. Fikah Wanita ms: 30
Weekend Husband & Wife
Akibat tuntutan kerja, suami isteri terpaksa tinggal berjauhan. Mereka mungkin hanya bertemu pada hujung minggu. Apakah adab-adab atau tanggungjawab suami isteri yang sebaiknya apabila tinggal berjauhan? Berapa lamakah tempoh ditinggalkan?

5. Pranikah ms: 64
Kenapa Mas Kahwin Tak Cukup-cukup?
Ramai lelaki sedang cuba mengumpul duit untuk belanja hari pernikahannya tapi duit itu dirasakan tidak cukup-cukup. Dia berusaha mencari kerja sampingan tapi duit tetap ‘kering’ setiap bulan. Dia mungkin terlupa soal punca ‘kekeringan’nya itu. Mengapa begitu?

6. Alam Maya ms: 108
Apabila Achik Terkena ...
Achik hampa, kecewa dan terkilan kerana pengalaman pertama membeli belah secara atas talian menjadi mimpi ngeri. Jika sekiranya Achik lebih berhati-hati sewaktu membuat pembelian dahulu, mungkin perkara ini dapat dielakkan. Achik ingin berkongsi beberapa tip yang mungkin boleh memberi panduan kepada anda sewaktu membeli-belah secara atas talian.

7.Manja Sihat ms: 62
Pemakanan Yang Sesuai Untuk Pesakit Chicken Pox
“Doktor, anak saya mengalami cacar air (Chicken Pox) sudah beberapa hari. Ibu saya menasihatkan agar menghindarkan kicap, telur, ayam dan pelbagai lagi agar ia mudah sembuh. Adakah boleh saya mengikuti nasihat ibu saya?” Ketahui ulasannya dalam ruangan Manja Sihat oleh Dr Zubaidi Ahmad. 

8. TipRM ms: 84
Selamatkah Wang Saya Jika Melabur?
Lazimnya pelaburan dibuat dalam pasaran saham, pasaran wang, bon dan sukuk (istilah bahasa Arab untuk bon yang patuh syariah). Saham pula sudah pasti ada naik dan turun harganya mengikut pergerakan minat pembeli dan penjual saham berdasarkan maklumat kewangan yang mereka dapati mahupun khabar angin tentang saham syarikat yang didagangkan. Apakah wadah pelaburan terbaik? Ikuti ulasannya dalam ruangan TipRM oleh Hajah Rohani Datuk Hj. Mohd Shahir.

9. Imej Muslimah ms: 42
Ingin Kekal Langsing?
Apabila berlaku sahaja perubahan bentuk badan, naluri kewanitaan akan rasa gelisah dan bimbang seandainya ia berterusan hingga mudarat. Biasanya wanita memilih untuk membuat rawatan terapi menguruskan badan (body slimming treatment). Namun, sama ada ingin sign-up atau tidak kepada sesuatu pakej rawatan badan, seseorang wanita perlu mengetahui sejauhmanakah had aurat tubuh perlu dibuka sewaktu berada bersama juruterapi? Ketahui panduan sebelum melakukan rawatan body slimming treatment oleh Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image. 

10. AdamVSHawa ms: 80
“Wahai Suami, Dengarlah Luahanku”
Orang perempuan boleh serentak bercakap dan mendengar serta dengan lancar boleh bertukar pelbagai tajuk perbincangan mereka manakala bagi orang lelaki pula, jika dia sedang bercakap, dia tidak boleh mendengar dan begitulah sebaliknya. Lelaki tidak boleh bercakap dan mendengar pada waktu yang sama. Ikuti perkongsian dan tip yang diberikan oleh Pak Utih dalam ruangan AdamVSHawa. 

May 23, 2013

KUIZ ANIS- KUMPUL DAN MENANG SEHINGGA RM 20,000

Semenjak KUIZ ANIS bertemakan KUMPUL DAN MENANG anjuran Majalah ANIS dan MASHOLIDAY mendapat sambutan yang mengalakkan daripada semua pembaca setia ANIS. Walaupun Majalah ANIS bersifat kewanitaan, kini ANIS mampu memikat hati pembaca lelaki. Tidak hairanlah penyertaan dan kreativiti daripada pihak lelaki dalam kuiz ini mendapat sambutan yang baik.

Berikut adalah beberapa gambar yang sempat dirakamkan di Jabatan Majalah terhadap kreativiti mereka.







May 13, 2013

BIL 190/JUN 2013


KANDUNGAN MENARIK ANIS JUN 2013:

1.    Fokus Utama : Dendam Syaitan
Nampaknya kemajuan, kemodenan dan kecanggihan tidak berupaya mengekang pengamalan sihir bahkan pengamalan sihir juga turut subur dan terus aktif di alaf 21 ini.
Walaupun Allah dan Rasul telah mengharamkan sihir namun amalan sihir terus sahaja berleluasa dan diguna pakai oleh manusia zaman ini termasuk yang mengaku sebagai umat Islam. Apakah itu sihir? Apakah amalan-amalan untuk mengelakkan diri daripada terkena sihir? Ikuti ulasannya dalam Fokus ANIS bulan ini oleh Ustaz Amaluddin Mohd Napiah.

2.    Interviu Fokus : Zikir
Zikir mampu menjadi benteng diri daripada gangguan-gangguan makhluk halus dan sebagainya kerana Rasulullah SAW sendiri pernah mengajar para Sahabatnya amalan-amalan yang boleh menjadikan diri ‘kebal’ dengan izin Allah SWT dan salah satu amalan yang diajar ialah zikir. Ikuti ulasannya oleh Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Che Zarrina Haji Sa’ari.

3.    Tetamu Anis : Noor Dayana Kena Tempias Ashraf Muslim
Ashraf tidak menafikan sejak berkecimpung dalam ‘dunia baharunya’ ini, dia terdedah dengan ramai ‘musuh’ yang sememangnya tidak menyukai dirinya melakukan pekerjaan baik seumpama itu. Namun, Ashraf sedar yang dia perlu kuat menepis semua itu dan terus mendambakan diri kepada Allah SWT agar diberi kekuatan menghadapi apa-apa kemungkinan yang mendatang.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kehidupan Mohd Ashraf Muslim dan isterinya, Noor Dayana Haji Lokman dapatkannya dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

4.    Fikah Wanita : Berkongsi Susu Ibu
Kini, menjadi satu trend apabila susu ibu dikongsi dengan anak-anak yang memerlukan yang kadang kala langsung tidak mempunyai hubungan persaudaraan. Malah ia turut diperdagangkan. Adakah ia dibolehkan dalam Islam?

5.    Harmoni : Bolehkah Terima Hadiah Daripada Ex-boyfriend?
Seorang isteri perlu menunjukkan rasa gembiranya kepada setiap pemberian suami walaupun pemberian itu murah, bahkan perlu memperlihatkan rasa serba salah dan tidak selesa jikalau sesuatu pemberian itu daripada orang lain meskipun pemberian itu amat berharga dan mahal. Namun, bolehkah seorang isteri menerima hadiah daripada orang lain dan apakah adab-adabnya?
 
6.    Imej Muslimah : Cantik Terhormat VS Cantik Tontonan
Setiap kali berada di pusat jualan pakaian, kita akan mudah terpandang kepada satu fesyen yang semakin digemari wanita pada hari ini. Ia adalah fesyen peplum yang dicirikan oleh ‘alunan ropol berpotongan pendek’ di sekeliling pinggang atau bahu pakaian. Adakah benar fesyen ini bertepatan dengan ciri pakaian Islamik yang bertujuan melindungi kecantikan diri daripada menjadi tontonan orang sekeliling?

8. Manja Sihat : Anak Saya Perlukan Antibiotik?
Demam, batuk dan selesema di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah adalah hal yang kerap berlaku. Namun, adakah setiap pesakit itu perlu diberikan antibiotik untuk mengurangkan demam yang dihadapinya? Ketahuinya dalam ruangan Manja Sihat oleh Dr Zubaidi Ahmad. Dapatkan juga tip pengambilan antibiotik dan tip mengurangkan demam.

Apr 9, 2013

BIL 189 Mei / 2013



KANDUNGAN MENARIK ANIS MEI 2013:
1. Fokus Utama : Kenali Dan Cintai Ummahatul Mukminin
Ummahatul Mukminin bukan calang-calang manusia. Ini kerana selain mereka dipilih dan dikahwini oleh Rasulullah, Allah SWT pula menggelarkan mereka sebagai Ummahatul Mukminin atau ibu kepada orang-orang yang beriman. Lantaran itu kita juga diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengenal dan mencintai ahli keluarga Baginda dan sekalian isteri-isteri Baginda SAW.
Ikuti ulasannya dalam Fokus ANIS bulan ini oleh Ustaz Amaluddin Mohd Napiah.

2. Interviu Fokus : Berkat Lagi Memikat
“Sebagai ‘ibu-ibu orang mukmin’, sepatutnya sejarah, latar belakang dan sifat-sifat mereka harus diketengahkan terutama dalam pendidikan awal kanak-kanak dan remaja. Melalui pendedahan awal, ia akan mendekatkan kita semua dengan kehidupan Ummahatul Mukminin dan dari sini akan memulakan proses mencintai mereka.” Bagaimana untuk memupuk perasaan cinta ini dan apakah sifat Ummahatul Mukminin yang wajar diteladani, ikuti ulasannya oleh Ustazah Norhafizah Musa, Pensyarah di Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

3. Tetamu Anis : Nurul Syuhada Nurul Ain – Mengaji Tafsir Di Rumah Mertua
Seiring penghijrahan dirinya, Nurul Syuhada kerap mengikuti kelas pengajian agama yang diadakan di rumah ibu mertuanya menyebabkannya lebih selesa bersama keluarga berbanding pengajian di luar.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kehidupan dan karier Nurul Syuhada dapatkannya dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

4. Fikah Wanita : Hukum mengamalkan Perancangan Keluarga
Kekangan kewangan dan tuntutan kerjaya biasanya menjadi alasan kepada pasangan suami isteri untuk mengamalkan perancangan keluarga. Tambahan pula, kini ada pelbagai teknik atau cara untuk menjarakkan anak yang disyorkan oleh doktor. Adakah perancangan keluarga dibolehkan dalam Islam? Bagaimanakah cara yang dianjurkan Islam?

5. Solat Wanita : Kiblat Kita Adalah Sama
Setiap kali kita bersolat, menjadi kewajipan untuk menghadap arah kiblat. Baik lelaki mahupun wanita, kiblatnya adalah sama. Namun, kenapa perlunya menghadap kiblat?

6. Sihat Anggun : Ayuh Berpantang!
Penjagaan selepas bersalin atau dalam pantang sama pentingnya dengan penjagaan ketika hamil. Teknik dan penjagaan yang betul juga kadangkala bukan sahaja mengembalikan kesihatan ibu, malah ibu juga kelihatan lebih sihat dan anggun berbanding sebelum mengandung. Di sinilah keistimewaan rawatan berpantang yang diikuti dengan rapi dan sempurna. Ketahui rawatan berpantang secara tradisional dalam ruangan Sihat Anggun.

7. Firman : Bimbingan Malaikat Atau Godaan Syaitan
Setiap saat dan ketika, kita sentiasa berada sama ada di bawah panduan malaikat atau bujukan syaitan. Individu yang berada di dalam panji malaikat dipermudahkan baginya melakukan segala kebaikan manakala individu yang langkah perjalanannya diiringi oleh syaitan yang terlaknat maka dipermudahkan baginya melakukan kejahatan dan penganiayaan. Bagaimana hendak memastikan sentiasa berada di bawah panji Malaikat, ketahuinya dalam ruangan Firman oleh Ustaz Nik Yusri Musa.

8. Harmoni : Siapa Kawan Kita?
Hidup ini tidak berseri tanpa sahabat dan kawan-kawan. Kita memerlukan mereka agar kita dapat mewarnai hidup ini selaras dengan apa yang telah dituntut oleh Allah SWT. Kawan yang baik membawa sejahtera, kawan yang salah membawa bencana dalam rumah tangga. Ketahui tiga tip dalam memilih kawan di ruangan Harmoni oleh Ustaz Mohd Shukri Samsudin.

9. Qalbun Salim : ‘Roh’ Solat
Khusyuk ialah jiwa dan roh kepada solat. Jasad tanpa roh adalah jasad yang mati. Jasad yang mati (yang tiada roh) tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Begitu juga solat yang tidak memiliki jiwa dan roh. Ia tidak membawa kesan apa-apa dalam diri orang yang bersolat. Dapatkan enam perkara yang perlu dilakukan semasa solat untuk mendapatkan khusyuk pada muka surat 70.

10. Tanya Doktor: Bahayakah Lendiran Berwarna Coklat?
Sebagai wanita yang prihatin terhadap kesihatan diri, sudah tentu amat risau jika terdapat lendiran berwarna coklat atau perang keluar setelah darah haid berakhir. Namun tidak semua lendiran vaginal berwarna coklat atau perang menunjukkan seseorang wanita mempunyai penyakit yang serius. Apa sebenarnya punca berlakunya lendiran coklat ini? Ketahuinya dalam ruangan Tanya Doktor oleh Dr. Zubaidi Ahmad.

Mar 21, 2013

BIL 188 April /2013


KANDUNGAN MENARIK ANIS APRIL 2013
1- Fokus Utama : Surah an-Nur : Pembela Kaum Wanita

Para ulama mengatakan bahawa Surah an-Nur ini surah yang menjadi penawar wanita Islam tidak kira mereka di mana. Mereka berkata sedemikian kerana bila mana surah ini dinuzul ia dikaitkan sebagai pembelaan dan penghormatan khusus kepada Ummul Mukmini Sayidatina Aisyah r.a - wanita mulia yang telah difitnah oleh kaum munafik. Maka surah ini jugalah yang akan berfungsi dan berperanan sebagai pembela kepada sekalian Muslimah. Untuk mengetahui bagaimana dan kenapa surah ini dikatakan sebagai pembela wanital ikuti Fokus ANIS bulan ini.

2- Interviu Fokus : Ajarlah Anak Gadismu Surah an-Nur

Surah an-Nur dimulakan dengan suatu ayat penegasan daripada Allah SWT. Tiada surah lain dalam al-Quran yang dimulakan dengan penegasan yang sangat keras kecuali Surah an-Nur. Allah SWT memberi penengasan bahawa apa yang terkandung dalam surah ini sangat penting untuk dilaksanakn, dihayati dan diaplikasikan. unutk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang ditegaskan oleh Allah dalam surah ini, ikuti ulasannya oleh Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia, Ustazah Maznah Daud.

3- Tetamu Anis : Pierre Andre -Pelihara Maruah Wanita Dalam Karyanya

Perjalanan menuju cahaya Ilahi bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Sudah pasti, beliau juga turut diuji dengan pelbagai bentuk ujian duniawi. baginya, tiada laluan mudah dalam melalui perjalanan mencari keredhaan abadi. Ketahui titik perubahan dalam kehidupan pierre Andre dan misinya dalam berdakwah dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

4- Kembara Eksklusif : Lukisan Hati Anak-anak Gaza

"Lukisan anak-anak di Malaysia lebih tertumpu kepada gaya hidup dan hiburan. namun, lukisan yang dilukis oleh anak-anak di Gaza menceritakan tentang hidup dan mati. Mereka melukis orang yang ditumbuk, bangunan dibom, kereta kebal, senapang dan macam-macam lagi. Mereka melukis apa yang mereka nampak pada setiap hari dan unutk hari-hari yang mendatang."
Ikuti pengalaman yang dikongsikan oleh Puan Zaliza binti Alias, Pengasas Genius Aulad yang berpeluang mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Islamic Relief Malaysia (IRM).

5- Kapsul Kitab : Hapuskan Al-Khujul!

Ada malu yang perlu disimpan dan ada malu yang perlu dibuang. Apakh malu tersebut dan bagaimana membuangnya? Ketahui dalam ruangan Kapsul Kitab.

6- Pra Nikah : Murah atau Mudah Lebih Baik?

Kita sering mendengar seruan agar kaum wanita meletakkan maha 'murah'. Apa yang kita fahan tentang mahar 'murah'? Apa bezanya dengan mahar 'mudah'? Islam mengajar kita bagaimana? Dapatkannya dalam ruangan Pra Nikah oleh Fatimah Syarha Mohd Nordin.

7- Manja Sihat : Anakku Pelik?

Anaknya memasuki usia dua tahun, namun belum dapat bercakap dengan baik seperti kanak-kanak seusianya. Jika berada dalam suasana orang ramai anak beliau tidak begitu mesra dan lebih suka bermain sendirian. Adakah itu tanda-tanda Autism? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Autism, ikuti kupasannya oleh Dr Zubaidi Ahmad dalam ruangan Manja Sihat.