Feb 6, 2013

Bil 183 Nov/2012



KANDUNGAN MENARIK ANIS NOVEMBER 2012 (BIL: 183)

1. Rencana Kulit / Transformasi Diri : Tajuk Transformasi Diri: Hijrah Menuju Fitrah

Sempena menyambut Maal Hijrah 1434, ANIS menyingkap rasa hati artis-artis yang telah berhijrah dan menemui kebahagiaan baru ini. Untuk itu, pertemuan diatur dengan dua orang sahabat artis, Haryati Hamzah atau Yatt dan Nurdiyana Amir Hashim atau  Diana Amir.Bukan lagi rahsia apabila umum mengetahui kisah di sebalik transformasi diri kedua-dua pelakon ini. Biarpun dicerca dan diperli, mereka enggan menoleh ke belakang lagi, di samping membiarkan saja dunia silam mereka berlalu pergi.Kini mereka berdua, bersama beberapa teman seni yang lain, seiring menyertai program usrah yang diadakan khusus untuk mereka. Perkumpulan yang dibentuk hujung tahun lalu, yang dikenali sebagai Usrah Fitrah (UF) ini bertujuan memberi kefahaman Islam, di samping meningkatkan tahap keimanan di kalangan mereka.

2. Fokus Utama : Hati Hidup Dengan Ilmu

Keperluan hati manusia terhadap cahaya ilmu merupakan keperluan yang sangat utama. Sebagaimana perlunya  bumi kepada hujan tatkala musim kemarau panjang. Ilmu adalah mutiara yang sangat berharga bagi setiap Muslim. Dengan ilmu, jiwa manusia akan hidup. Sebaliknya tanpa ilmu, jiwa manusia akan mati.Sebahagian orang-orang yang arif berkata “Bukankah orang sakit akan mati jika dilarang daripada makan, minum dan ubat-ubatan? Maka dijawab, “Tentu saja.” Mereka berkata, “Begitu juga dengan hati jika terhalang daripada ilmu dan hikmah, ia akan mati.”

Hujjatul Islam, Al-Imam al-Ghazzali Rahimahullah di dalam kitabnya Manhajul ‘Abidin menggariskan bahawa setiap hamba Allah akan menempuh dan merentasi  tujuh halangan atau gunung  berikut sebelum amalan-amalannya diterima oleh Allah SWT. Tujuh halangan tersebut adalah; ( Taubat ,Ilmu, Penghalang, Ibadah, Perintang Ibadah, Peningkat Ibadah, Pencacat Ibadah, Syukur.)

Melihat kepada susunan di atas, jelaslah bahawa Imam al-Ghazzali meletakkan halangan ILMU sebagai halangan yang kedua terpenting selepas taubat. Imam al-Ghazzali tentu sahaja menggariskan panduan penting ini berdasarkan pengalaman mujahadah dan rohani beliau yang bertahun-tahun lamanya.

Maknanya, kesedaran dan keinsafan yang mendalam hasil taubat yang murni tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Sebaliknya ia hendaklah dibaja agar terus subur, terjaga dan terpelihara. Maka, baja dan pagar itu adalah ilmu pengetahuan.

Fokus Utama ANIS kali ini akan  menghurai 13 Keistimewaan Penuntut Ilmu dan Jahil Itu Bahaya.

3. Interviu Fokus : Tajuk Interviu Fokus: Wanita Wajib Menuntut Ilmu

Dalam melayari alam rumah tangga, perkara utama yang perlu diambil perhatian ialah pendidikan agama. Baik suami, mahupun isteri perlu ada ilmu agama yang baik dan sempurna. Jika si isteri tidak berilmu, menjadi tanggungjawab suami mendidik isterinya dengan baik. Sebaliknya jika suami tidak berilmu, bagaimana dia mahu mendidik isteri dan seterusnya anak-anak yang bakal lahir menjadi insan berilmu? Sehubungan itu, isteri perlulah juga mempersiapkan dirinya dengan ilmu di dada, di samping selalu meningkatkan kefahaman sebagai persediaan jika wujudnya senario seperti ini dalam rumah tangganya. Pensyarah di Jabatan Dakwah dan Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS),Ustazah Nor Saleha Mohd Salleh memberi ulasan lanjut mengenai isu ini. Di samping itu para Muslimah perlu juga ketahui apakah adab yang perlu dititikberatkan ketika melangkah ke majlis ilmu.

4.Eksklusif: Usrah Fitrah & Kumpulan Al-Mawlid: Majlis Pengajian Di Kalangan Artis

(1) Usrah Fitrah:

Team ANIS meninjau sendiri kelas pengajian yang dinamakan Usrah Fitrah yang diadakan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Adat orang yang ingin melakukan kebaikan, pasti dihujani dengan ujian. Di kala hati sedikit goyah, kumpulan Usrah Fitrah yang dibentuk di kalangan para penggiat seni tanah air ini menjadikan mereka terus bermotivasi. Di sini, mereka membina kekuatan bersama-sama di samping meningkatkan tahap pengetahuan dan ilmu agama. Masing-masing pernah merasai dunia glamour dan memahat nama di persada seni negara. Penghijrahan yang dilakukan kini bukan alasan untuk mereka meninggalkan terus kerjaya mereka, tetapi menjadikan mereka lebih berhati-hati. Ikuti rasa hati Irma Hasmie, Zoey Rahman, Siti Nor Dina (Nana) setelah mengikuti Usrah Fitrah. Begitu juga pandangan tenaga-tenaga pengajar mereka.

(2) Kumpulan Al-Mawlid

Amer Munawer Yusoff, 35, bekas anggota kumpulan Ruffedge berkongsi detik-detik penghijrahannya pada tahun 2007.Penghijrahan Amer menjadi pemangkin kepada penghijrahan sahabat-sahabatnya yang  turut sama mencari sesuatu yang tidak dapat mereka temui dalam dunia mereka sebelum ini. Penghijrahan ini menyatukan mereka semua dalam satu kumpulan yang dinamakan Al-Mawlid. Kini, mereka selesa duduk bersama-sama mendalami ilmu agama serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amer yang mewakili kumpulan itu berkata, mereka kini giat mengikuti  Majlis Taklim Darul Murtadza pimpinan Habib Ali Zaenal Abidin yang diadakan pada hari Jumaat setiap minggu di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa.

5.Adab : Tajuk Adab: Beradablah...

Beradablah sebelum menuntut ilmu. Beradablah ketika menuntut ilmu. Beradablah juga setelah menuntut ilmu. Itulah pesanan berharga daripada ulama-ulama silam yang soleh. Kita sering menyebut ketinggian ilmu yang dimiliki oleh Imam Syafi’i, Imam Abu Hanifah dan Imam Bukhari. Kita juga sering mendendangkan kehebatan tokoh-tokoh  ilmuwan pada zaman Abbasiah. Namun, berapa ramai  di kalangan kita yang benar-benar menyelusuri lembaran perjalanan mereka dalam menuntut ilmu lantas mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian


No comments:

Post a Comment