Apr 9, 2013

BIL 189 Mei / 2013



KANDUNGAN MENARIK ANIS MEI 2013:
1. Fokus Utama : Kenali Dan Cintai Ummahatul Mukminin
Ummahatul Mukminin bukan calang-calang manusia. Ini kerana selain mereka dipilih dan dikahwini oleh Rasulullah, Allah SWT pula menggelarkan mereka sebagai Ummahatul Mukminin atau ibu kepada orang-orang yang beriman. Lantaran itu kita juga diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengenal dan mencintai ahli keluarga Baginda dan sekalian isteri-isteri Baginda SAW.
Ikuti ulasannya dalam Fokus ANIS bulan ini oleh Ustaz Amaluddin Mohd Napiah.

2. Interviu Fokus : Berkat Lagi Memikat
“Sebagai ‘ibu-ibu orang mukmin’, sepatutnya sejarah, latar belakang dan sifat-sifat mereka harus diketengahkan terutama dalam pendidikan awal kanak-kanak dan remaja. Melalui pendedahan awal, ia akan mendekatkan kita semua dengan kehidupan Ummahatul Mukminin dan dari sini akan memulakan proses mencintai mereka.” Bagaimana untuk memupuk perasaan cinta ini dan apakah sifat Ummahatul Mukminin yang wajar diteladani, ikuti ulasannya oleh Ustazah Norhafizah Musa, Pensyarah di Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

3. Tetamu Anis : Nurul Syuhada Nurul Ain – Mengaji Tafsir Di Rumah Mertua
Seiring penghijrahan dirinya, Nurul Syuhada kerap mengikuti kelas pengajian agama yang diadakan di rumah ibu mertuanya menyebabkannya lebih selesa bersama keluarga berbanding pengajian di luar.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kehidupan dan karier Nurul Syuhada dapatkannya dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

4. Fikah Wanita : Hukum mengamalkan Perancangan Keluarga
Kekangan kewangan dan tuntutan kerjaya biasanya menjadi alasan kepada pasangan suami isteri untuk mengamalkan perancangan keluarga. Tambahan pula, kini ada pelbagai teknik atau cara untuk menjarakkan anak yang disyorkan oleh doktor. Adakah perancangan keluarga dibolehkan dalam Islam? Bagaimanakah cara yang dianjurkan Islam?

5. Solat Wanita : Kiblat Kita Adalah Sama
Setiap kali kita bersolat, menjadi kewajipan untuk menghadap arah kiblat. Baik lelaki mahupun wanita, kiblatnya adalah sama. Namun, kenapa perlunya menghadap kiblat?

6. Sihat Anggun : Ayuh Berpantang!
Penjagaan selepas bersalin atau dalam pantang sama pentingnya dengan penjagaan ketika hamil. Teknik dan penjagaan yang betul juga kadangkala bukan sahaja mengembalikan kesihatan ibu, malah ibu juga kelihatan lebih sihat dan anggun berbanding sebelum mengandung. Di sinilah keistimewaan rawatan berpantang yang diikuti dengan rapi dan sempurna. Ketahui rawatan berpantang secara tradisional dalam ruangan Sihat Anggun.

7. Firman : Bimbingan Malaikat Atau Godaan Syaitan
Setiap saat dan ketika, kita sentiasa berada sama ada di bawah panduan malaikat atau bujukan syaitan. Individu yang berada di dalam panji malaikat dipermudahkan baginya melakukan segala kebaikan manakala individu yang langkah perjalanannya diiringi oleh syaitan yang terlaknat maka dipermudahkan baginya melakukan kejahatan dan penganiayaan. Bagaimana hendak memastikan sentiasa berada di bawah panji Malaikat, ketahuinya dalam ruangan Firman oleh Ustaz Nik Yusri Musa.

8. Harmoni : Siapa Kawan Kita?
Hidup ini tidak berseri tanpa sahabat dan kawan-kawan. Kita memerlukan mereka agar kita dapat mewarnai hidup ini selaras dengan apa yang telah dituntut oleh Allah SWT. Kawan yang baik membawa sejahtera, kawan yang salah membawa bencana dalam rumah tangga. Ketahui tiga tip dalam memilih kawan di ruangan Harmoni oleh Ustaz Mohd Shukri Samsudin.

9. Qalbun Salim : ‘Roh’ Solat
Khusyuk ialah jiwa dan roh kepada solat. Jasad tanpa roh adalah jasad yang mati. Jasad yang mati (yang tiada roh) tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Begitu juga solat yang tidak memiliki jiwa dan roh. Ia tidak membawa kesan apa-apa dalam diri orang yang bersolat. Dapatkan enam perkara yang perlu dilakukan semasa solat untuk mendapatkan khusyuk pada muka surat 70.

10. Tanya Doktor: Bahayakah Lendiran Berwarna Coklat?
Sebagai wanita yang prihatin terhadap kesihatan diri, sudah tentu amat risau jika terdapat lendiran berwarna coklat atau perang keluar setelah darah haid berakhir. Namun tidak semua lendiran vaginal berwarna coklat atau perang menunjukkan seseorang wanita mempunyai penyakit yang serius. Apa sebenarnya punca berlakunya lendiran coklat ini? Ketahuinya dalam ruangan Tanya Doktor oleh Dr. Zubaidi Ahmad.