Oct 14, 2013

ANIS NOVEMBER 2013

Sumbu ANIS ms: 17
Cinta Di Hujung Jari Semakin Jauh Semakin Sayang?
Senario zaman kini menyaksikan ramai pasangan suami isteri terpaksa tinggal berjauhan kerana hambatan dan tuntutan pekerjaan. Selain itu, antara sebab terpaksa tinggal berjauhan adalah perkahwinan pada usia muda dan masih belajar di kalangan penuntut universiti. Adakah ia dibenarkan syarak? Apakah yang perlu dilakukan oleh suami/isteri yang terpaksa tinggal berjauhan? Ketahui tip-tip dan  ulasan lanjut mengenai isu ini dalam Sumbu ANIS bulan ini oleh Ustazah Maznah Daud, Mantan Pensyarah UiTM dan Ketua Wanita IKRAM Malaysia.

Bicara Tokoh ms: 22
“Kadang-kadang orang yang tinggal bersama pun ada masalah, inikan pula yang berjauhan. Semua ini berpaksi kepada keimanan masing-masing terhadap Allah SWT. Apabila sudah berjauhan, kepercayaan terhadap pasangan perlu diberikan sepenuhnya. Jika kita percaya dan dalam masa yang sama masih ada lagi keraguan dalam diri, kita serahkanlah sepenuhnya kepada Allah SWT.” Ketahui peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dan panduan untuk mengisi kesunyian apabila tinggal berjauhan yang dikongsikan oleh mantan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustazah Zawiah Hassan.

Bicara Tokoh ms: 26
“Tidak perlu ada rahsia antara suami isteri walaupun tinggal berasingan dan hanya bertemu sekali sekala. Suami beritahulah isteri ke mana kita pergi dan apa aktiviti kita sepanjang berjauhan dengannya.” Dapatkan tip-tip yang dikongsikan oleh Imam Muda Hizbur Rahman Omar Zuhdi, Naib Juara rancangan Imam Muda bagi musim pertama yang pernah menempuhi pengalaman cinta jarak jauh semasa bergelar penuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir suatu ketika dahulu.

Personaliti ANIS ms: 32
Puteri Sarah Liyana - Tidak Sanggup Berjauhan
“Saya pernah memegang watak yang memerlukan saya bertudung. Ini merupakan titik tolak bagi saya untuk berubah. Sebelum ini pun, telah banyak perkara pahit yang berlaku dalam hidup saya termasuklah kontroversi demi kontroversi sepanjang bergelar artis. Apabila mengambil keputusan bertudung dan membuang segala perkara yang negatif, hidup saya kembali tenang dan tidak lagi dikaitkan dengan kontroversi.” Ketahui perjalanan hidup dan cerita terkini Puteri Sarah Liyana dalam Personaliti ANIS pada muka surat 32.

Fikah Wanita ms: 50
Nifas Selepas Bersalin dan Keguguran
Selepas bersalin kebiasaannya wanita didatangi darah nifas. Berapakah tempoh sebenar darah nifas itu? Bagaimana pula dengan wanita yang keguguran. Adakah darah yang keluar itu juga dinamakan darah nifas dan berapakah tempoh bagi wanita yang keguguran? Ketahui jawapannya oleh Ustazah Maznah Daud.

Sirih Junjung ms: 90
Saling Merindui Akhirat
Sebelum berumah tangga, kita ada pelbagai impian yang indah di masa depan. Sesuatu yang hebat dan cukup indah selalunya bermula dengan apa yang kita rasakan ia mustahil. Seindah mana pun impian, ia tak seindah memiliki impian yang satu ini iaitu indahnya memiliki rumah tangga yang setiap ahlinya saling merindui kehidupan abadi. Apakah tanda sesebuah rumah tangga itu merindui pertemuan dengan-Nya? Mari kita mengetuk pintu rumah Rasulullah SAW dan belajar sesuatu di dalamnya. Ikuti kupasannya oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin.

Manja Sihat ms: 62
Berhati-hati Berikan Ubat Pada Bayi Anda
Pesakit: “Mana ubat batuk anak saya? Antibiotik?Bagaimana nak baik kalau tak bagi ubat?”
Doktor: “Mungkin dia menyangka ubat-ubat itu penting untuk anak dia. Padahal ubat-ubat itu boleh memberikan mudarat pada anak dia yang berumur enam bulan itu …” Nak tahu mengenai ubat-ubatan yang mungkin berbahaya kepada bayi dan anak anda? Bacalah ruangan Manja Sihat oleh Dr. Zubaidi Ahmad.

Hai Darling! ms: 78
“Ladies First” – Mampu Buat Isteri Tersenyum
Wanita zaman sekarang sangat memerlukan sokongan tambahan daripada suaminya untuk dia dapatkan bekalan extra oxytocin agar dia boleh mengimbangi testosteron yang dirembesnya semasa di pejabat. Dengan ini, suami perlu mengutamakan dan mendahulukan aktiviti di rumah yang boleh meningkatkan oxytocin isterinya jika dia inginkan kebahagiaan hubungan suami isteri. Bagaimana suami boleh membantu meningkatkan oxytocin isterinya? Dapatkan tip yang dikongsikan oleh Pak Utih dalam ruangan Hai Darling!

Tackle Remaja ms: 82
Apabila Anak Mula Bercinta …
Satu hari saya didatangi oleh seorang ibu yang mengadu masalah anak lelakinya. Anaknya itu berusia 15 tahun. Dia bimbang kerana sejak bercinta, fokus anaknya terhadap pelajaran merosot, masanya habis di laman sosial, duit habis bergayut di telefon dan berbalas-balas SMS. Bagi mengatasi masalah tersebut, dia terpaksa mengambil tindakan yang drastik dengan merampas telefon bimbit anaknya, memotong talian internet dan menegur tingkah laku anaknya itu. Malah ada ketikanya terpaksa memarahinya dan bersuara tinggi. Ibu itu bertanya sama ada betul atau tidak caranya itu? Ingin tahu bagaimana hendak mengatasi masalah ini, dapatkan jawapannya dalam ruangan Tackle Remaja oleh Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Imej Muslimah ms: 42
Anda Sebenarnya Sangat Lawa!
Seseorang wanita tidak perlu rasa gelisah untuk mengubah bentuk muka, memutih kulit wajah, ingin terlalu menguruskan bentuk badan atau terpaksa memakai perhiasan yang terlalu banyak. Semuanya kerana wanita itu sendiri telah diciptakan cantik! Paling penting hanyalah bersederhana dalam menghias diri di samping mengekalkan semua kecantikan asli. Apabila begini, barulah dirinya mampu tergolong dalam takrifan wanita cantik yang sangat diiktiraf agama. Apakah ciri-ciri wanita cantik yang diiktiraf agama? Ketahui kupasannya oleh Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image.