Jun 12, 2013

BIL 191 JULAI/2013


KANDUNGAN MENARIK ANIS JULAI 2013:

1. Fokus Utama ms: 17
Lagi Sedekah Lagi Kaya!
Ramadan juga dinamakan bulan sedekah. Ini kerana setiap kali tibanya Ramadan, Baginda SAW diriwayatkan bersedekah dengan sedekah yang amat banyak sehingga diumpamakan sedekah Baginda itu bagaikan angin yang berhembus. Umat Islam digalakkan banyak melakukan sedekah di bulan Ramadan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah SWT serta menuruti sunnah Rasulillah SAW. Ia juga sebagai bentuk pembuktian kepada kebenaran iman kita iaitu dengan mengeluarkan sebahagian daripada harta kita yang Allah SWT kurniakan. Namun, tahukah kita terdapat juga sedekah wajib dan sunat? Nak tahu lebih lanjut mengenainya, ikuti ulasannya dalam Fokus ANIS bulan ini oleh Ustaz Amaluddin Mohd Napiah.

2. Interviu Fokus ms: 20
Mengurangkan jumlah hutang yang ditanggung oleh penghutang adalah digalakkan dalam Islam. Bahkan, ganjarannya diumpamakan seperti memberi sedekah kepada mereka yang berada dalam kesulitan dan kesusahan. Ikuti ulasannya oleh Pengarah Urusan Transform Training & Concultancy, Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew.

3. Tetamu Anis ms: 33
Adam Corrie & Fazima Cinta Bersemi Di Bulan Ramadan
“Saya selalu mengikut kawan saya ke masjid dan melihat bagaimana dia solat dan mengambil wuduk. Paling membuatkan saya selesa apabila saya masuk ke masjid, imam tidak pula memarahi saya tetapi hanya meminta saya supaya tidak bising. Saya suka akan akhlak dan cara hidup yang ditunjukkan oleh kawan saya itu. Sejak itu, saya banyak bertanya tentang Islam.” Ingin tahu apakah ‘turning point’ Adam dan perjalanan hidup Adam bersama isterinya, Fazima? Ketahuinya dalam ruangan Tetamu ANIS pada muka surat 33. 

4. Fikah Wanita ms: 30
Weekend Husband & Wife
Akibat tuntutan kerja, suami isteri terpaksa tinggal berjauhan. Mereka mungkin hanya bertemu pada hujung minggu. Apakah adab-adab atau tanggungjawab suami isteri yang sebaiknya apabila tinggal berjauhan? Berapa lamakah tempoh ditinggalkan?

5. Pranikah ms: 64
Kenapa Mas Kahwin Tak Cukup-cukup?
Ramai lelaki sedang cuba mengumpul duit untuk belanja hari pernikahannya tapi duit itu dirasakan tidak cukup-cukup. Dia berusaha mencari kerja sampingan tapi duit tetap ‘kering’ setiap bulan. Dia mungkin terlupa soal punca ‘kekeringan’nya itu. Mengapa begitu?

6. Alam Maya ms: 108
Apabila Achik Terkena ...
Achik hampa, kecewa dan terkilan kerana pengalaman pertama membeli belah secara atas talian menjadi mimpi ngeri. Jika sekiranya Achik lebih berhati-hati sewaktu membuat pembelian dahulu, mungkin perkara ini dapat dielakkan. Achik ingin berkongsi beberapa tip yang mungkin boleh memberi panduan kepada anda sewaktu membeli-belah secara atas talian.

7.Manja Sihat ms: 62
Pemakanan Yang Sesuai Untuk Pesakit Chicken Pox
“Doktor, anak saya mengalami cacar air (Chicken Pox) sudah beberapa hari. Ibu saya menasihatkan agar menghindarkan kicap, telur, ayam dan pelbagai lagi agar ia mudah sembuh. Adakah boleh saya mengikuti nasihat ibu saya?” Ketahui ulasannya dalam ruangan Manja Sihat oleh Dr Zubaidi Ahmad. 

8. TipRM ms: 84
Selamatkah Wang Saya Jika Melabur?
Lazimnya pelaburan dibuat dalam pasaran saham, pasaran wang, bon dan sukuk (istilah bahasa Arab untuk bon yang patuh syariah). Saham pula sudah pasti ada naik dan turun harganya mengikut pergerakan minat pembeli dan penjual saham berdasarkan maklumat kewangan yang mereka dapati mahupun khabar angin tentang saham syarikat yang didagangkan. Apakah wadah pelaburan terbaik? Ikuti ulasannya dalam ruangan TipRM oleh Hajah Rohani Datuk Hj. Mohd Shahir.

9. Imej Muslimah ms: 42
Ingin Kekal Langsing?
Apabila berlaku sahaja perubahan bentuk badan, naluri kewanitaan akan rasa gelisah dan bimbang seandainya ia berterusan hingga mudarat. Biasanya wanita memilih untuk membuat rawatan terapi menguruskan badan (body slimming treatment). Namun, sama ada ingin sign-up atau tidak kepada sesuatu pakej rawatan badan, seseorang wanita perlu mengetahui sejauhmanakah had aurat tubuh perlu dibuka sewaktu berada bersama juruterapi? Ketahui panduan sebelum melakukan rawatan body slimming treatment oleh Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image. 

10. AdamVSHawa ms: 80
“Wahai Suami, Dengarlah Luahanku”
Orang perempuan boleh serentak bercakap dan mendengar serta dengan lancar boleh bertukar pelbagai tajuk perbincangan mereka manakala bagi orang lelaki pula, jika dia sedang bercakap, dia tidak boleh mendengar dan begitulah sebaliknya. Lelaki tidak boleh bercakap dan mendengar pada waktu yang sama. Ikuti perkongsian dan tip yang diberikan oleh Pak Utih dalam ruangan AdamVSHawa.