Jan 23, 2014

Anis Februari 2014



KANDUNGAN MENARIK ANIS FEBRUARI 2014


Sumbu ANIS: “Aku Mahu Cantik!”
Apabila ditanya kepada kita, “Siapakah wanita yang paling cantik di dunia?” Sering kali yang tergambar di fikiran kita ialah wanita yang berkulit putih mulus, rambut perang dan ikal mayang, pipi pauh dilayang, pinggang ramping bak kerengga, berbaju seksi serta memperlihatkan auratnya yang wajib ditutupi – seperti mana kecantikan yang digembar-gemburkan media berorientasikan Barat. Jika itulah definisi sebenar mengenai kecantikan – ramai wanita pasti dihimpit rasa sedih bercampur malang kerana tidak semua bernasib baik dilahirkan cantik dan jelita. Soalnya, di mana letak kecantikan sebenar dan hakiki bagi seorang wanita? Kecantikan itu sangat relatif, setiap orang berlainan pandangan, maka untuk mengetahui jawapan paling tepat mari kita semak sama ada pandangan kita menepati pandangan Allah dan Rasul-Nya. Ketahui juga sejauh mana had untuk berhias dan apakah larang-larangannya yang dikupas  oleh Ustazah Maznah Daud.

Bicara Tokoh : Suburkan ‘Cantik’ Dalam Rumah Tangga
Manusia merupakan ciptaan Allah yang sempurna dan dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian. Seandainya kita dilahirkan kurang sempurna di sudut kecantikan diri, kita tidak sewajarnya putus asa malah sepatutnya kita harus bersyukur.
“Wajah seseorang itu tidak boleh diubah, tetapi ingat kecantikan dalaman iaitu akhlak diri boleh diubah,” tegas Dato’ Ustaz Zawawi Yusoh. 
Mengupas lanjut erti sebenar kecantikan seorang wanita dari perspektif Islam, menurut beliau kecantikan hakiki bagi seorang wanita itu terletak pada kecantikan pada akal, hati dan nafsunya. Ikuti juga kupasan dari Pendakwah dan Perunding Motivasi, Puan Noor Laila Aniza Zakaria berkenaan cantik dalam rumah tangga sempena Forum ANIS ‘Menjengah Kecantikan Hakiki’.

Tinjauan Eksklusif: Cantik Di Mata, Cantik Di Hati
Majalah ANIS Februari juga secara eksklusifnya menghuraikan isu cantik secara mendalam yang dikupas oleh panel-panel Seminar Penuaan Kulit: Terapi Dalaman dan Luaran anjuran Pusat Penyelidikan Rehabilatasi Komuniti dan Penuaan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Panel-panel yang terlibat adalah Ustazah Norhafizah Musa yang menghuraikan apa itu cantik, apakah situasi yang menyebabkan wanita tidak cantik dan apakah penawar untuk cantik. Panel lain ialah Pensyarah di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Arimi Fitri Mat Ludin dan Dr. Noor Zalmy Azizan, Pakar Kulit Hospital Kuala Lumpur yang turut menunjukkan beberapa senaman yang boleh dilakukan oleh golongan wanita khususnya sama ada di tempat kerja atau di rumah dan panduan untuk mendapat kulit yang sihat dan cantik. Dapatkan juga rahsia awet muda yang dikongsikan oleh Dato’ Dr. Sarimah Ahmad.

Personaliti ANIS: Gadis Geologi dan Ratu Di Dapur
Kesibukannya bertugas sebagai pegawai geologi di sebuah syarikat minyak dan gas di ibu kota tidak pernah mematikan minatnya dalam bidang memasak. Malah, beliau sentiasa bersemangat mencuba pelbagai masakan di samping mengasah tajam kemahirannya dalam bidang kulinari ini. Walaupun tidak pernah mengikuti pendidikan formal dalam bidang kulinari, namun kemenangannya sebagai juara MasterChef Malaysia musim kedua seolah-olah memberi petunjuk bahawa kemahiran dan bakatnya dalam masak-memasak ini bukan calang-calang sekali gus menyuntik semangatnya untuk terus beraksi di dapur. Ikuti cerita terkini Izyan Hani Mohd Izham dalam Personaliti ANIS.

Asy-Syifa’: Harapan Untuk Pesakit Autisma
Buat masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat autisma. Rawatan selalunya memerlukan beberapa jenis rawatan yang diolah mengikut keperluan setiap kanak-kanak autisma. Objektif utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit untuk mampu berdikari dalam hampir semua aspek kehidupan. Ketahui ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan untuk merawat masalah ini dan tip-tip kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisma yang dikongsikan oleh Hj. Lokman Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al-Hidayah.

Hai Darling!: Suami Tak Perasan Isterinya Cantik
Sebelum pergi ke jemputan majlis perkahwinan, Mariam telah mengenakan tudung baru yang beropol-ropol campuran tiga warna yang amat sepadan dengan kebarungnya. Diserikan lagi dengan kerongsang bujur berwarna-warni sedondon dengan warna utama pakaiannya. Ketika berada dalam kereta, dia berharap suaminya perasan akan tudung baru tersebut lalu memujinya. Malangnya si suami langsung tidak perasan yang Mariam memakai tudung baru apatah lagi memujinya. Kenapa ini terjadi? Bagaimanakah caranya untuk seorang isteri mendapat pujian daripada suaminya? Ketahui jawapannya yang dikongsikan oleh Pak Utih dalam ruangan Hai Darling!

Tackle Remaja: Terima Anak Seadanya
“Saya pernah memasukkan anak-anak saya ke program motivasi yang doktor jalankan. Semuanya berjaya kecuali seorang, iaitu anak yang ketiga. Anak yang pertama, kini sudah menjadi seorang doktor perubatan. Anak kedua dan keempat masing-masing kini sedang menuntut di universiti. Cuma anak lelaki yang ketiga sahaja kurang menjadi. Sebenarnya doktor, dulu saya tidak faham. Sekarang baru saya faham kenapa dia tidak cemerlang dalam pelajarannya. Rupanya, Allah SWT menganugerahkan saya seorang anak khusus untuk bantu saya ketika susah seperti sekarang ini.” Dapatkan panduan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang dikongsikan dalam ruangan Tackle Remaja oleh Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

Imej Muslimah: Bijaksana Memilih Tudung
Sekarang ini, ada banyak fesyen tudung di jual dalam pasaran. Variasi tudung bermacam warna menarik turut dipelbagaikan pilihan mengikut cara penggayaan, corak serta jenis fabrik yang cantik-cantik. Harga tudung pula tersedia mengikut kesesuaian tahap kemampuan pembeli.
Pada ketika inilah, seorang wanita perlu membuat pilihan dengan bijaksana.  Sama ada setiap helai tudung dibeli itu benar-benar mendatangkan manfaat baik kepada dirinya. Penilaian bukan sahaja pada kesempurnaan menutup aurat dan tidak membazir (bila harga tudung terlalu mahal) tetapi perlu dihalusi maksud imej diri tersirat apabila menggayakannya (bagaimana pandangan orang sekeliling apabila memakai tudung tersebut). Ketahui kategori-kategori tudung yang ada di pasaran dan kupasannya oleh Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image.

Sirih Junjung: Berhiaslah, Ia Menarik Jodoh
Anjuran berhias di dalam sunnah berbentuk umum, untuk lelaki dan wanita juga. Daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW, “Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya bagus dan sandalnya bagus.” Baginda menambah, “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah yang menyukai keindahan.” (Riwayat Muslim). Apakah contoh perhiasan Wanita Generasi Terbaik? Dapatkan ulasannya oleh Fatimah Syarha Mohd Nordin.

No comments:

Post a Comment