Feb 6, 2013

Bil 178 Jun/2012




KANDUNGAN MENARIK ANIS JUN 2012:

1.  Fokus Utama 


Sebaik-baiknya apa yang berlaku di masjid turut terpercik ke dalam rumah kita. Bacaan al-Quran, zikir, selawat, solat-solat sunat dan ibadah yang sering dilaksanakan di masjid mampu dicernakan di rumah.  Rumah tangga menjadi platform mawaddah dan rahmah, sebagaimana bahagia dan tenangnya hati kita tatkala bersimpuh di mihrab masjid dalam mendambakan cinta dan kasih sayang Allah SWT. Ketahui bagaimanakah caranya untuk menjadikan rumah tangga yang kita bina sebagai ‘kembar’ masjid dalam Fokus Utama Anis bulan ini: Rumah Kita Masjid Kita.

2.  Tetamu Anis -Bertudung Bukan Untuk Suka-suka

“Saya memang tidak pernah menafikan kemungkinan untuk berhijab. Setiap kali orang bertanyakan perkara tersebut, saya memberitahu yang saya akan memakainya apabila sudah bersedia dan meminta mereka mendoakan saya supaya cepat bertemu ‘jalan’ tersebut. Alhamdulillah, berkat doa mereka yang ingin melihat saya bahagia di dunia dan akhirat, saya akhirnya bertudung.” – Ana Raffali
Ikuti detik penghijrahannya bertudung dan perjalanan hidup sebagai seorang isteri dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

3.  Resipi Kehidupan Dari Pentas ke Dapur Masakan 

Tidak semua mampu melakar kejayaan di negara orang. Namun, berkat usaha keras yang tidak pernah kenal erti putus, Chef Adu berjaya membuktikan yang dia mampu memahat kejayaan di sana sekali gus mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

4.  Transformasi Diri - Tsunami Sedarkan Pot (Innuendo) Mencari Tuhan

Dia mula membuat perubahan diri mendekati Tuhan kesan berlakunya tsunami pada tahun 2004. Dari situ dirinya banyak berfikir bahawa kematian boleh merenggut sesiapa juga tanpa sempat ditunda dan segala harta yang dicari boleh lupus sekelip mata jika Allah berkehendakkan. Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan artis ini, dapatkannya dalam ruangan Transformasi Diri muka surat 52.

5.  Imej Muslimah - Fabrik Lycra: Sopan @ Sengsara?

Pemakaian jubah, seluar labuh dan blaus daripada fabrik lycra jika tidak betul caranya akan menampakkan lekuk dan bentuk badan si pemakai. Biarpun pakaian tersebut ‘agak longgar’ dan labuh, ia tetap menampakkan lekuk setiap kali pakaian ‘tersandar’ pada bahagian badan. Keadaan ini sebenarnya telah menjatuhkan maruah diri pemakai tanpa disedari olehnya. Dapatkan tip-tip berpakaian daripada fabrik lycra agar imej wanita Muslimah terus terpelihara oleh Puan Suraya Daud, Perunding Imej dari SD Image.

6.  Jom Sihat - 6 Langkah Turunkan Berat Badan

Terdapat mitos di dalam diet penurunan berat badan dengan meng’haram’kan makronutrien tertentu seperti lemak ataupun karbohidrat. Malah, ada juga yang me’lebih’kan makronutrien yang lain seperti protein. Persoalannya, benarkah diet sebegini membantu? Oleh itu, ketahui langkah-langkah untuk menurunkan berat badan dengan cara yang betul dalam ruangan Jom Sihat oleh Nur Hidayah Mokhtar, Perunding Diet.

7.  Manja Sihat - Bahayakah Demam Anak Saya?

Gejala demam sebenarnya menandakan tubuh kanak-kanak itu sedang berjuang untuk menentang jangkitan kuman. Peningkatan suhu dalam badan juga tidak bermakna bahawa kanak-kanak itu sedang menghadapi gejala demam yang serius. Ketahui dengan lebih lanjut mengenai demam oleh Dr. Zubaidi Hj. Ahmad dalam ruangan Manja Sihat pada muka surat 90.

No comments:

Post a Comment