Feb 6, 2013

Bil 181 Sep/2012



KANDUNGAN ANIS 181 (SEPTEMBER 2012)

1. Tetamu Anis  : Prof Kamil & Roza Roslan : Keajaiban doa isteri
Siapa sangka, kesan luar biasa doa yang dipohon, hari ini Raudzah Roslan yang lebih mesra dengan panggilan Roza berada di samping suaminya, Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim, berhijrah ke Madinah, Arab Saudi September tahun lalu. Penghijrahan ini juga membawa impak sangat besar dalam hidup pasangan ini selepas pemergian mereka menunaikan ibadah haji pada 2006.

2. Fokus Utama – Ujian Aidilfitri: OK @ KO?

Ada yang menginjak dari Ramadan ke Syawal dengan melupakan sejenak amalan sepanjang Ramadan. Sedangkan sebelum itu mereka penat berusaha dengan sedaya mungkin membajainya sebulan, tiba-tiba tumbang dalam sekelip mata dihembus oleh takbir raya awal Syawal. Aidilfitri disambut tanpa melihat takwa yang sepatutnya berjaya dikendung. Sebaliknya, kandungan Aidilfitri terselit bibit-bibit mazmumah yang merungkai satu persatu pahala yang ditanam benihnya sepanjang Ramadan. Baca dan hayatilah Fokus Utama Anis kali ini. Anda juga perlu ketahui tujuh penyebab Aidilfitri menjadi KO.

3.Interviu Fokus - Rumah Terbuka: Tradisi Atau Ibadat?

Sesuatu yang menarik dan tidak putus-putus diperkatakan mengenai tradisi menyambut Syawal adalah amalan kunjung-mengunjungi antara sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Demikian juga amalan mengadakan rumah terbuka. Adakah ia sekadar acara tradisi atau boleh menjadi ibadat? Apakah hukum memenuhi jemputan ke rumah terbuka dan apakah adab-adabnya sebagai tuan rumah dan tetamu? Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjawab persoalan ini.

4. Rencana Kulit - ‘Ana Althafunnisa’ Bawa Tuah Buat OKI

Keterlibatannya dalam filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB) tidak lama dulu menjulang nama Oki Setiana Dewi. Watak Ana Althafunnisa yang didukungnya nyata memberi tuah kepada gadis berusia 23 tahun kelahiran Batam, Indonesia ini apabila menerima tempias yang cukup hebat di kalangan peminat filem Islamik di Indonesia. Siapa sangka gadis ayu yang selesa dengan penampilan berjubah dan berselendang labuh ini menerima dua pengiktirafan dalam Indonesian Movie Award iaitu Aktris Pendatang Baru Terbaik dan Aktris Pendatang Baru Paling Popular.

5. Adam vs Hawa - Dilema Menantu Beraya di Rumah Mentua

Berhari raya di kampung amat menyeronokkan terutama sekali apabila dapat berhari raya di rumah ibu bapa kita sendiri. Biasalah, apabila kita telah berada di rumah sendiri, kita mudah lupa diri. Ramai di kalangan kita yang memendam rasa dan menjeruk hati di atas sikap dan perubahan perangai pasangan masing-masing. Perkara yang remeh atau kecil, sama ada perkataan atau perbuatan yang menyinggung perasaan pasangan kita, dalam keadaan berkumpul beramai-ramai amat besar kesan kepadanya. Ikuti 10 langkah perlu dielakkan para isteri dan 8 tip untuk para suami agar hubungan harmoni sepanjang beraya di rumah mentua.

6. Jom Sihat - Penulis buku ‘The Water Secret: The Cellular Breakthrough to look and Feel 10 Years

Younger’ yang juga seorang profesor perubatan di University of California, Howard, Murad menyatakan mengambil air dengan banyak seperti yang disarankan boleh mencantikkan kulit dan menghilangkan kedutan wajah dengan memberi kelembapan kepada kulit. Jadi, tidak boleh dinafikan air adalah pelembap wajah yang paling berkesan berbanding kosmetik yang berisiko mempunyai kesan sampingan. Ketahui selanjutnya fungsi air terhadap manusia.



No comments:

Post a Comment